Assalamu’alaikum, salam keamanan dan salam Ramadhan 1432H.
Bersempena jatuhnya tarikh 17 Ramadhan 1432H pada hari ini, kami mengucapkan Salam Nuzul (Penurunan) Al – Quran kepada semua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang beragama Islam. Sambutan hari peringatan Nuzul Al – Quran ini juga lazimnya digabungkan dengan Peristiwa Perang Badar yang telah terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah.
Oleh itu, mari kita sama – sama menjadikan Ramadhan dan Nuzul Quran ini sebagai momentum untuk kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Quran. Mari kita jadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk sentiasa memuhasabahkan diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita; seterusnya menerapkan segala isi kandungannya di dalam bentuk setiap individu, masyarakat dan negara.
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang batil)” [al-Baqarah(2):185].